JOHOR BAHRU - Bila hujan sahaja siaran mudah terganggu.
Itulah dilema yang membelenggu pengguna televisyen satelit berbayar, Astro sejak dulu hingga sekarang walaupun kadar caj bulanan mereka telah meningkat.
Situasi itu jelas mengecewakan jika ia berlaku tatkala seronok menonton rancangan yang diminati.
Dalam hal ini, Pengarah Pusat Komunikasi Wayarles Fakulti Kejuruteraan Elektrik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Prof. Dr. Tharek Abd Rahman berkata, masalah itu boleh diatasi jika Astro menukar antena yang berbentuk cengkung sekarang kepada leper dan rata.
Beliau menjelaskan, gelombang yang dipancarkan dari satelit gagal menemui titik fokal yang berfungsi untuk menterjemahkan siaran kerana gangguan hujan.
"Saya yakin penggunaan antena yang berbentuk leper dan rata yang mana titik fokalnya terlindung di belakang antena akan dapat mengatasi masalah itu,'' katanya kepada pemberita di sini semalam.
Beliau sebelum itu memperkenalkan Capaian Wayarles Mudah Alih Jalur Lebar (PBWA), gajet wi-fi mudah alih yang dicipta oleh Fakulti Kejuruteraan Elektrik universiti berkenaan.
Hasil ciptaannya itu telah memenangi pingat emas dalam satu pameran antarabangsa di Geneva, Switzerland pada 2 April lalu.
Tharek berpendapat, satu lagi sebab siaran Astro sering terjejas semasa hujan ialah kerana penggunaan kuasa gelombang setinggi 12 Gigahertz (GHz).
Jelasnya, penggunaan kuasa gelombang setinggi itu tidak dapat dielak memandangkan ia frekuensi wajib industri penyiaran.
"Sebab itu capaian generasi ketiga (3G) dan Perkhidmatan Radio Paket (GPRS) yang menggunakan kuasa gelombang di bawah 10GHz tidak terjejas meskipun waktu hujan,'' ujarnya.
Mengenai produk emasnya itu, beliau memberitahu, ia berfungsi menukar capaian 3G atau GPRS kepada Wifi.
"Ia mempunyai perisian yang boleh memastikan capaian internet adalah efisien dan boleh dijadikan sebagai prabayar. Ciri-ciri ini belum ada lagi pada alat yang sama di pasaran,'' katanya.
Alat itu boleh digunakan dalam bas dan kereta api di mana penumpang boleh melayari internet dalam keadaan sama seperti menggunakan telefon mudah alih.
Katanya, kelebihan alat itu adalah boleh dibawa ke mana-mana asalkan pengguna itu mempunyai akses kepada 3G atau GPRS.
1 comment:
lepas nie astro... cepat2laa tukar antena tu... bayar mahal.. tp asal hujan, terganggu.. biar bayaran mahal, tp terjamin siaran, xpela jugak..
Post a Comment